PENGHULU PRIHATIN
Assalamualaikum. Kepada semua pelawat Halaman Rasmi Penghulu-Penghulu Daerah Marang, cuba kita lihat betapa sukarnya rakyat kita menghadapi krisis, dan juga dilema kerana terperangkap di Mesir yang kian parah situasinya dari semasa ke semasa. Dengan kesukaran untuk berhubung apabila kebanyakan talian komunikasi telah disekat oleh kerajaan Mesir, tak kurang bebannya dengan peningkatan harga makanan yang naik mendadak dengan sumber kewangan yang terhad, rakyat kita juga tidak terlepas daripada risiko untuk menjadi sasaran penjenayah yang kini bebas bermaharajalela apabila sebahagian penjara telah musnah sistem kawalannya. Walau bagaimanapun, syukur alhamdulillah, Cadangan Kerajaan Malaysia melalui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di samping usaha pengembelengan tenaga daripada syarikat penerbangan domestik Malaysian Airlines (MAS) dan Air Asia untuk sama-sama membantu operasi pemindahan ini, melalui jalan laut dengan penghantaran Kapal Bunga Mas 5, diterajui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), usaha-usaha untuk membawa keluar rakyat Malaysia sedang giat dijalankan. Semoga Allah melindungi semua rakyat Malaysia di sana agar dapat pulang dengan selamat menemui keluarga tercinta. Bersama-samalah kita berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar dan sentiasa berada dalam lindungan lembayung Ar Rahman dengan kita berikhtiar mengadakan solat hajat secara berjemaah bukan sahaja di Masjid-masjid seluruh negara bahkan di Surau-surau kecil di kampung-kampung malah secara berjemaah di rumah-rumah atau secara berseorangan. Apapun, hikmah daripada kejadian ini, kita semua rakyat Malaysia menjadi lebih peka dan bersatu padu dan yang paling penting KECINTAAN KITA KEPADA NEGARA KIAN BERTAMBAH! BERSAMALAH KITA KEKALKAN KEAMANAN DAN KEMAKMURAN INI...